Tuesday, August 24, 2010

Cara Memaju Sukan Di Malaysia

Kebelakangan ini, kemerosotan mutu sukan negara sering menjadi tajuk berita dalam media massa. Selain itu, kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada kejohanan Piala Asia (AFC), serta tumbangnya jagaan badminton negara dalam kejohanan badminton, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi sukan- sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang,dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara. Walaubagaimanapun, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk memaju dan meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini,perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatan induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan-persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Persatuan Hoki Malaysia (PHM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara “sebulat suara” ini,sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka.Keghairahan memenuhi agenda peribadi,menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet kita. Berkaitan hal ini,Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru,sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara,bak kata pepatah,”hanya jauhari yang mengenal manikam”
Disamping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengiburkan cabaran negara pada pringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara(MSN) dan institut Sukan Negara(ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritik seperti kewangan,kejurulatihan,pemakanan,pikologi dan sebagainya. Berhubung dengan ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurut kebanyakan para pemaian bola sepak negara lebih menggemari roti canai,nasi lemak,dan merokok. Kegagalan menyediakan pogram-program berkualiti,memungkinkan mutu sukan terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya, sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia memecah penguasaan china dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya”garding emas”, Koon Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan Badminton Dunia telah menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan ilfizam semua pihak,pastinya “sinar di hujung terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.






Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan –kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Contohnya, pasukan bola sepak tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia,adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar “seperti melepaskan batuk di tangga”. Sebaliknya ia menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan para atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.



Seterusnya, memperkukuhkan aktiviti sukan di semua sekolah. Pendidikan di Malaysia ialah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan potensi individu sepenuhnya,perlu dilihat dalam pelbagai perspektif. Sebagai langkah ke arah ini kementerian Pelajaran akan memastikan supaya sukan di sekolah-sekolah dianjurkan dengan lebih meriah dengan penglibatan masyarakat setempat. Di antara strategi yang akan dilaksanakan dalam memenuhi hasrat ini ialah dengan melaksanakan dasar mewajibkan setiap pelajar menyertai sekurang-kurangnya satu sukan nulai tahun 2011. Dasar ini akan memastikan setiap pelajar melibatkan diri secara aktif dalam akiviti sukan di sekolah masing-masing. Usaha ini pastinya akan meningkatkan penyertaan menyeluruh di kalangan pelajar sekolah yang berjumlah 5.4 juta di 10,000 buah sekolah di negara kita. Sehubungan itu, pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah diminta untuk membuat parancangan rapi berkaitan pembangunan sukan di sekolah-sekolah dengan menjadualkan program sukan sepanjang tahun supaya memberi peluang yang luas untuk setiap pelajar menyertai pelbagai jenis sukan di sekolah. Bagi memastikan hasrat ini dicapai, Kementerian perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembangunan Sukan di sekolah yang mana ahli-ahlinya terdiri dripada wakil pelbagai pihak yang berkepentingan dalam sukan di negara kita.

Langkah yang seterusnya untuk meningkatkan kualiti sukan negara adalah dengan memberi insentif kepada atlet yang memenangi sesuatu pertandingan. Hal ini berlaku demikian kerana ganjaran yang diberikan kepada atlet negara tidak setimpal dengan usaha yang dicurahkan oleh mereka. Dengan ini, pemain dan atlet yang diberikan insentif tadi akan lebih bersemangat untuk menempa kejayaan untuk negara. Tamsilnya, Majlis Sukan Negara boleh menganugerahkan hartanah,wang atau saham kepada mereka yang Berjaya. Selagi tiada insentif diberikan kepada mereka, sudah pasti hasrat untuk melonjakkan mutu sukan negara akan terbantut.


Selain itu, cara yang sesuai untuk memajukan sukan di negara kita ialah pihak kerajaan harus mengadakan kempen untuk menyedarkan mengenai kepentingan sukan dan faedah yang dapat diperolehi melalui sukan. Sehubungan itu, media juga memainkan peranan yang penting untuk menyiarkan program televisyen yang mengenai sukan untuk menarik minat, dan iklan yang dipaparkan di televisyen agak berkesan kepada orang ramai kerana rancangan televisyen ini telah menjadikan satu hiburan utama kepada kebanyakan orang. Selain perwatakan televisyen dalam penyedaran sukan,iklan yang dipaparkan di surat khabar dan internet juga memberi kesan yang baik kerana surat khabar masih adalah jalan utama meej diedarkan kepada semua orang.

Membawa masuk jurulatih luar negara ke negara kita atau menghantar jurulatih negara kita berkursus ke luar negara juga merupakan salah satu langkah yang efektif untuk memajukan sukan di negara kita. Hal ini kerana,teknik dan kepakaran dari luar negara boleh dipraktikan dalam membentuk atlet yang berkualiti dan mampu menjulang nama negara dan juga mereka dapat mengetahui corak dan jenis latihan yang diterima oleh pihak lawan. Contohnya, Lois Fellipe Seolari (bola sepak), Rexy Maniarky (badminton). Dalam masa yang sama kita tidak boleh ketepikan jurulatih tempatan kita yang mempunyai pengalaman yang luas, contohnya Misbun Sidek dan Datuk Lee Chong Wei. Sehubungan itu, bilangan jurulatih yang berkaliber hendaklah ditambah. Hal ini kerana, kebanyakan jurulatih yang sedia ada tidak menunjukkan komitmen yang tinggi dan kurang berpengalaman dalam melatih atlet. Dengan penambahan jurulatih yang berkaliber, atlet-atlet akan menjadi lebih mahir dalam bidang sukan yang diceburi oleh mereka. Jelaslah bahawa mutu sukan negara akan terus merosot sekiranya bilangan jurulatih yang berkaliber tidak ditambah.



Langkah seterusnya adalah dengan menaik taraf prasarana sukan di seluruh negara terutama di kawasan luar Bandar. Hal ini berlaku demikian kerana pada masa sekarang kemudahan prasarana sukan kurang disediakan di kawasan tersebut. Prasarana sukan yang lengkap dapat membantu atlet berlatih dengan selesa dan efektif serta dapat mencungkil bakat dari kawasan tersebut. Sebagai contohnya, kemudahan sukan seperti gimnasium, kolam renang, stadium dan sebagainya tidak disediakan di kawasan luar bandar, selagi kemudahan sukan tidak disediakan secara menyeluruh di semua kawasan, selagi itulah isu ini akan terus berlanjutan tanpa penyelesaian yang konkrit.


Menganjurkan lebih banyak perlawanan persahabatan dengan negara luar juga merupakan langkah yang berkesan untuk mendorong meningkatkan mutu sukan di negara kita. Hal ini kerana, pemain-pemain negara kita dapat “curi”kepakaran dan corak permainan mereka. Sehubungan itu, pemain-pemain negara kita juga dapat menguji kehebatan strategi yang sedia ada. Sebagai contohnya, Air Asia dan Kementerian Belia dan Sukan telah menganjurkan perlawanan persahabatan (bola sepak) dengan Manchester United. Hal ini tetap mendorong dan menaikkan semangat mereka dan bersemangat bermain untuk maruah negara tersendiri.







Konklusinya, isu ini tidak boleh dipandang sebelah mata dan perlu mencontohi kepakaran negara luar agar nama Malaysia berdiri sama dengan negara-negara lain di atas pentas sukan dunia. Sehubungan itu, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkan angka lima puluh tiga tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago ataupun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk negara”.

No comments:

Post a Comment